Watan: Tingkatkan usaha mendaftar belia - kumpulan tidak berdaftar sebagai pengundi terbesar di Malaysia

UNTUK SIARAN SEGERA

19 September 2017, Petaling Jaya – Watan dan Merdeka Center telah mengumumkan keputusan Tinjauan Pendapat Awam: Pandangan Belia Tentang Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa. 

Tinjauan ini ialah satu projek bersama di antara Watan, satu badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak mendaftar pengundi belia, dan Merdeka Center, sebuah badan penyelidik bebas. Ia dijalankan sekitar 3-8 Ogos, 2017, dan melibatkan 604 responden antara 21-30 tahun dari 12 negeri dan 165 kawasan parlimen di Semenanjung Malaysia.

Berikut ialah beberapa dapatan utama daripada tinjauan tersebut:

  1. Pengundi belia berasa negara ini menuju ke arah yang salah. Pandangan ini didorong oleh bagaimana mereka melihat situasi kewangan peribadi mereka.

  2. Kos sara hidup ialah kebimbangan paling besar bagi belia 21-30 tahun dan memberi kesan ke atas persepsi mereka terhadap prestasi kerajaan. Rasa tidak senang ini mewarnai pandangan negatif mereka terhadap beberapa isu seperti kemasukan ke dalam pasaran kerja, tahap gaji, dan jaminan pekerjaan.

  3. Orang muda tidak berminat dengan politik dan tidak percaya kepada ahli politik. Majoriti percaya bahawa rata-rata, ahli politik tidak kisah tentang kesusahan rakyat dan ahli politik sendiri merupakan punca banyak masalah di negara ini.

  4. Majoriti belia percaya orangramai tidak perlu menyokong keputusan kerajaan yang lain dari pandangan mereka sendiri.

  5. Hampir 40% yang ditinjau belum mendaftar untuk mengundi. Separuh daripada jumlah itu melaporkan mereka tidak mendaftar kerana tiada masa dan satu daripada empat responden percaya mengundi tidak membawa apa-apa perubahan.

“Mungkin perasaan terpinggir inilah yang menyebabkan jumlah pendaftaran pengundi sejak 2013 begitu lesu,” kata Ibrahim Suffian, pengarah program dan pengasas bersama Merdeka Center, yang membentangkan keputusan tinjauan.

Lebih membimbangkan lagi, sejumlah 3.8 juta rakyat Malaysia yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi sehingga 31 Mac 2017 (Q1 2017), menurut data dari Suruhanjaya Pilihanraya. Daripada jumlah itu, dua pertiga berumur antara 21-30 tahun, menjadikan golongan ini kumpulan tidak berdaftar sebagai pengundi yang paling terbesar di Malaysia.

“Keputusan tinjauan mengesahkan dapatan daripada perbincangan kelompok sasaran yang dijalankan oleh Watan awal tahun ini yang menunjukkan tahap apati yang membimbangkan,“ kata Masjaliza Hamzah, pengarah eksekutif Watan.

Sejak pelancarannya pada 13 April lalu, Watan telah menjalankan kempen untuk mewujudkan satu gerakan di kalangan belia Malaysia untuk bersuara dan meyakinkan mereka untuk mendaftar dan seterusnya, mengundi.

Watan berharap belia akan sedar betapa pentingnya suara mereka dalam membentuk masa depan negara. Justeru, Watan menyeru belia untuk mendaftar supaya mereka boleh mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

###

 

Watan